Jackie Si Beg Dobi

Jackie Si Beg Dobi

19 Februari 2023

Kota Samarahan: Hari ini saya mahu mendobi, puncanya pakaian penting semuanya sudah kotor. Dua baldi sudah penuh, tuang masuk ke dalam Jackie si beg Dobi, penuh terus. Saya ke dobi bagaimana? Ya, motosikal. Bagaimana? Ya, letak di belakang motor dan berdoa serta tawakkal.

Rutin dobi begitulah, dua minggu sekali, RM20 dapat 24 token, 7 token satu mesin basuh, dua mesin basuh sama dengan 14 token, baki guna untuk pengering sampai kering. Mula-mula bawa motor ke hadapan blok dahulu, enjin biar hidup tongkat tepi, naik bilik bawa turun Jackie letak atas tempat duduk belakang, naik galas walaupun talinya bukan untuk galas, doa banyak-banyak terus jalan. Di bonggol kita bawa perlahan sedikit, perlahan banyak sebenarnya, takut terjatuh beg (berdasarkan pengalaman) kemudian dengan tertib terus ke dobi.

Saya jenis yang setia, pengguna dobi yang sama sahaja, sebab dekat, terbiasa dan tak banyak cekadak. Lalu sahaja depan dobi itu ALAMAK tutuplah pula. Otak ligat berfikir, terpaksalah ke pilihan yang kedua, dobi sebelah bank Islam. Itu dobi kegemaran kawan saya, ada sejarah di situ sebab itu dia melekat di situ. Mahu tak mahu terpaksalah saya ke sana.

Minyak motosikal tinggal lagi 1 ringgit sebenarnya di dalam tangki. Mahu tak mahu saya singgah juga ke Petronas untuk isi minyak. Pertama kali bawa beg dobi ke stesen minyak. Orang semua boleh nampak Jackie lebih besar dari saya atas motor itu hahahahahah nampak lawak, adalah malu-malu sedikit, tapi muka kena kering sahaja. Isi RM7.00 memang tepat-tepat paras minyak sebelum lubang penutup.

Tak tunggu lama, terus ke dobi. Sudah sampai terus turun, lupa masih galas tali Jackie. ZRRRRAAAAAPPP. TERBURAI BAJU SELUAR SEMUA. Terkoyak Jackie, tak dapat diselamatkan huhu TIDAKKKKK JACKIEEEE. Sebelum hendak nangis-nangis dulu baik alih dahulu baju yang terburai di atas jalan itu. Angkut semua dengan bangkai mayat Jackie, masukkan baju ke dalam dua mesin basuh. Selesai sekejap. Sekarang alih motosikal ke parkir dahulu, tadi berhenti tengah jalan. Lepas parkir, pergi beli token, RM20 dapat 20, pemurah lagi dobi lama huh. Mulakan pembasuhan, 30 minit, jadi saya pergi makan di kedai mamak dahulu.

Roti kosong dua teh suam satu sambil memikir dekat manalah saya beli si Jackie ini dahulu. Habis makan, saya buang Jackie. Baibai Jackie, awak telah berkhidmat dengan baik. Sekarang rehatlah. BRUUUMMM terus saya ke pasaraya terdekat.

Bersemadilah dengan aman, Jackie.

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir