Ke Kenduri Nab

Ke Kenduri Nab

Disember 23, 2022

Pulau Pinang: Hari ini kami akan ke Pulau Pinang untuk hadiri majlis perkahwinan si Nab. Subuh kami di surau, ramai-ramai tanpa dirancang. Mungkin hasil didikan dari dulu hingga sekarang. Tapi alasan saya solat di surau cuma sebab saya lupa arah kiblat dalam rumah HAHAHAHAHAHAHA. Lepas solat kami bertembung dengan paklang saya, dia ada juga di surau tadi. Dia menjemput kami untuk bersarapan di rumahnya. Rancangan asal kami adalah bergerak ke Pulau Pinang jam 8.00 pagi, sarapan di sana, jalan-jalan dahulu barulah ke kenduri si Nab. Tapi disebabkan paklang sudah ajak, takkanlah kami hendak menolak. Kami pun setuju sahaja. Paklang cakap datang ke rumahnya jam 9.00 pagi. Kiranya pergerakan kami sedikit dilewatkanlah. Tapi tidak mengapa, makanan percuma, siapa hendak tolak.

Kami pulang ke rumah pakngah, mandi-mandi bersiap-siap kemas barang-barang dan kemudian berbincang mengenai pergerakan kami nanti di Pulau Pinang. Seorang rakan kami mahu ikut serta juga. Kami panggilnya Katang. Katang sekarang ada di Sik, Kedah. Katanya dia mahu ikut dan akan segera ke tempat yang kami janjikan untuk ambil dia. Jadi kami tetapkan untuk ke IKEA Pulau Pinang. Kami juga sudah tentukan hotel mana yang kami akan menginap untuk satu malam di Pulau Pinang. Seterusnya kami tetapkan tempat untuk kami berjalan-jalan di Pulau Pinang. Semua kelihatan selesai, kami pun pergi sarapan di rumah paklang.

Kami sarapan beramai-ramai, termasuk dengan sepupu semua yang ada sekali. Habis sarapan, kami minta diri untuk bergerak ke IKEA. Sudah sampai, Katang belum sampai. Tidak mengapa, kami masuk IKEA dahulu. Ini pertama kali saya masuk IKEA, saya kagum. Cara mereka meracun pelanggan untuk membeli perabot memang jahat. Bilik pameran yang penuh dengan perabot mereka yang disusun sesuai dengan suasana sebenar di dalam rumah. Memang boleh bayangkan bagaimana kita mahu susun perabot yang dibeli itu, saya jamin kalau saya banyak duit waktu itu mesti saya sudah beli banyak-banyak, betul-betul menarik. Setiap bahagian rumah ada bilik pamerannya sendiri. Lama betul kami pusing-pusing, tengok-tengok. Akhirnya kami Cuma beli aiskrim sahaja hahahaha. Ingatkan nak cuba juga bebola daging mereka yang dikatakan sedap tapi kami nak ke kenduri jadi kena laparkan perut sedikit.

Kami keluar dari IKEA, YA TUHAN KATANG TAK SAMPAI LAGI. BETUL-BETUL DIA SIDAI KAMI INI. Lepas beberapa lama dia datang juga, ayahnya yang hantar. Kami sembang-sembang sedikit dengan ayahnya kemudian kami masuk kereta terus perjalanan ke kenduri. Lokasi Balik Pulau.

Terfikir yang kami semua dari jauh sanggup ke kenduri orang. Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah sanggup ke Pulau Pinang semata-mata hendak menghadiri kenduri. Mak pernah cakap, kalau kita malas ke kenduri orang, orang pun akan malas ke kenduri kita. Sekarang ini saya macam paling rajin ke kenduri orang, agaknya orang sanggup tak datang dari jauh semata-mata untuk hadir kenduri saya?

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir