Balik Kampung

Balik Kampung

Disember 19, 2022

Parit Buntar: Kawan saya hendak kahwin. Ya, perempuan, nama; Nab. Kendurinya di Penang. Jadi sebagai rakan sekelas yang baik dan meraikan kebahagiaan rakannya, saya pun berhasrat untuk ke kenduri tersebut. Sehari sebelum kenduri saya pulang ke kampung halaman di Parit Buntar, memandangkan jarak dari situ ke sana lebih dekat berbanding sini ke sana. Saya sudah maklumkan kepada mak saudara saya (adik-beradik ibu) dan mereka pun sudah memaklumkan di mana saya akan menginap. Memang cantik rancangan.

Sampai di kampung, sebenarnya bukanlah kampung sangat. Kampung asalnya terletak di Parit Haji Ali kalau tak silap namanya, kampung yang memang kampung, tapi setelah atok meninggal (takziah dan Al-Fatihah kepadanya), kami sudah tidak pulang ke sana. Alternatifnya kami pulang ke sebuah taman perumahan. Di taman tersebut ada rumah pakngah, paklang, cik lili dan ujang. Empat pasang ibu bapa saudara saya di sana. Kiranya jika ada perayaan, jamuan makan, sambutan atau mungkin sekadar melepak, situlah yang kami akan pergi.

Seperti selalunya, saya pergi ke taman tersebut dan menginap di rumah pakngah. Pakngah tiada di situ tapi ada anaknya. Saya minta izin menumpang dan saya diizinkan. Saya sampai pada waktu pagi, tiadalah pagi sangat, hampir zohor jugalah. Pada waktu itu tiada orang di rumah, semua orang pergi kenduri kahwin saudara jauh kami, saya pun tak kenal. Saya masuk saja dahulu ke dalam rumah, memandangkan rumah tidak berkunci. Siap-siap letak barang apa semua, solat zohor di masjid jamak dengan asar kemudian pulang semula ke rumah.

Pada waktu petang barulah ramai-ramai berkumpul di rumah pakngah untuk meraikan ulang tahun kelahiran acik kami. Ramai yang datang, ada makteh, atam, acik semestinya, cik lili, paksu ai, dan sepupu-sepupu semua. Memang meriah hari itu. Ada makan-makan ayam bakar, kambing bakar, ikan bakar, sup tulang, spaghetti, nasi campur, memang makan sampai kenyanglah ceritanya.

Saya selalu dengar jika mati seorang ibu, adik beradik akan menjadi jarang berkumpul kerana hilangnya insan yang mengikat antara mereka. Contohnya, semua balik kampung bila hari raya kerana ibu suruh balik. Tapi bila ibu sudah tiada ibarat tiada sebab lagi untuk anak-anak untuk pulang ke kampung. Tapi saya bersyukur sebab perkara itu tidak berlaku dalam keluarga kami. Atok sudah meninggal, tetapi sekecil mana pun perkara yang ingin disambut, semua akan sanggup pulang semata-mata ingin melihat wajah adik-beradik masing-masing. Kalau boleh, sekerap mungkin mahu berjumpa walaupun semuanya sudah berkeluarga. Sampaikan ramai antara mereka sanggup membeli rumah di taman perumahan yang sama supaya mudah untuk berjumpa. Rasa bertuah dilahirkan dalam keluarga yang penyayang seperti ini.

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir