Wang Itu Token
Wang Itu Token
Disember 14, 2022
Kodiang: Dalam cerita yang ditulis sebelum ini, saya mengatakan bahawa emas itu adalah wang tunai yang sebenar. Kalau begitu, bagaimana dengan wang kertas? Wang kertas hanyalah sesuatu yang mewakili emas yang disimpan. Nilai wang kertas bergantung kepada nilai emas yang diwakili. Boleh dikatakan wang kertas bernilai kerana emas. Tanpa emas, wang kertas tiada nilai. Dalam erti kata lain wang kertas hanyalah token yang mewakili wang sebenar iaitu emas.
Wang kertas digunakan untuk menggantikan emas kerana beberapa faktor. Pertama, wang kertas lebih ringan daripada emas. Oleh itu, wang kertas lebih mudah dibawa, terutamanya dalam jumlah yang lebih besar.
Kedua, wang kertas lebih mudah dihasilkan. Satu perkara yang mengejutkan walaupun tidak mengejutkan ialah wang kertas itu boleh dicetak. Ya, tidak mengejutkan. Tetapi bayangkan dalam situasi negara tidak mempunyai cukup wang kertas, mereka tidak perlu membuat kerja lebih masa seperti kita. Cukup petik suis, boom. Berjuta-juta wang kertas berjaya dicetak. Agak lawak dan sadis jika difikirkan, kita berkorban masa, kesihatan, kudrat, semata-mata untuk dapatkan sesuatu yang boleh diperoleh melalui cetakan sahaja.
Namun, wang kertas tidaklah seringkas itu. Mencetak wang kertas dengan banyak tidak menyebabkan negara terus menjadi kaya. Bapak senang buat duit. Ada negara yang berfikiran begitu, cetak wang kertas dengan banyak, tujuan untuk menjadi kaya, akhirnya mengurangkan nilai wang kertas mereka, terus jadi miskin. Macam dalam cerita saya sebelum ini, 10 token mewakili 10 emas. Satu token mewakili satu emas. Kalaulah token itu dicetak dalam jumlah yang banyak, contoh; 20 token mewakili 10 emas, maksudnya satu token mewakili hanya separuh emas, ini lebih sedikit jika dibandingkan dengan yang awal tadi iaitu satu token mewakili satu emas. Cuma bayangkan kalau sebanyak 100 token dicetak bagi mewakili 10 emas. Lagilah berkurangan nilai token tersebut. Itulah yang berlaku dengan wang kertas. Makin banyak dicetak, makin berkurangan nilainya.
Perkara ini sangat berbeza dengan emas, jumpalah emas banyak mana sekalipun, nilainya tetap tidak akan berubah. Wang kertas? Makin banyak wang kertas, makin berkurangan nilainya. Kerana nilai wang kertas bergantung kepada nilai emas manakala nilai emas tidak bergantung dengan apa-apa.
Kadang pernah terfikir juga, kalau kita bakar duit kertas banyak-banyak sehingga tinggal sedikit, adakah nilai duit kertas akan meningkat? Sebab berkurang kan? Kalau bertambah nilainya berkurang, kalau berkurang adakah nilainya bertambah? Mungkin kita tak akan tahu memandangkan tiada siapa cukup gila untuk membakar duit.
Comments
Post a Comment