Bateri Kereta Kong
Bateri Kereta Kong
Disember 16, 2022
Alor Setar: Malam ini kami pergi wayang sebab hendak tonton Filem Mechamato yang baru keluar ini. Kami pergi dua kereta, saya pandu satu. Kiranya sampai di Aman Central itu, naik atas, parkir, tutup kereta, terus keluar. Kemudian kami lepak satu jam sebelum masuk ke panggung wayang. Habis dua jam lebih di pawagam, kami pun hendak balik. Saya pergi ke kereta. Tekan butang kunci. Kereta tak berbunyi. Tekan lagi. Tak bunyi. Alamak.
Alat kawalan jauh habis bateri kah? Ketuk-ketuk. Tekan. Ketuk-ketuk. Tekan. Ketuk-ketuk. Tekan. Selepas 30 minit. Ketuk-ketuk. Tekan. Tiada kesan. Alamak. Betulkah habis bateri? Kemudian Tatam telefon tanya sudah gerak atau belum. Kemudian saya beritahu yang kereta tak dapat dibuka. Mungkin sebab alat kawalan jauh habis bateri. Kakak cakap kadang-kadang memang macam itu. Dia cadangkan supaya ketuk-ketuk sahaja alat itu, sampailah boleh digunakan semula. Saya pun sudah rasa tak sabar, terus saya nekad untuk buka menggunakan kunci sahaja.
Masalah apabila menggunakan kunci adalah selepas pintu dibuka, penggera keselamatan akan berbunyi. Saya tahu sebab saya pernah buat. Jadi saya nekad. Sebelum buat, saya tonton dahulu video dan baca cara mematikan penggera keselamatan selepas pintu dibuka. Setelah betul-betul hafal caranya. Saya pun nekad. Saya masukkan kunci, pulas, buka pintu, sedia...tiada penggera yang berbunyi. Hairan. Sepatutnya berbunyi. Tak apalah, mungkin saya cuma perlu bersyukur. Saya pun masukkan kunci untuk hidupkan kereta pula. Saya pulas, kereta tidak hidup. Alamak.
Kenapa tak boleh hidup. Kereta rosakkah? Saya keluar dari kereta, tengok sekeliling dan saya baru perasan. Lampu nombor plat belakang menyala, dan lampu depan juga seakan menyala, cumanya memang betul-betul malap. Tapi kereta tak boleh hidup. Saya telefon dan beritahu Tatam. Tatam pun kata "Oh...patutlah. Bukannya alat kawalan jauh yang habis bateri, kereta yang habis bateri, sudahlah tak tutup lampu, kita dalam kompleks tadi berapa lama? Tiga jam? Habislah bateri kereta itu" oh betul juga. Barulah saya faham kenapa tekan alat kawalan jauh pun tak berbunyi, penggera keselamatan pun tak berbunyi, kereta pun tak boleh hidup, rupanya sebab habis terus bateri.
Bateri sudah kong lah. Sudahlah tengah-tengah malam dalam Aman Central Parkir dalam tingkat 5. Siapa hendak tolong?
Bersambung...
Comments
Post a Comment