Kawan Kahwin
Kawan Kahwin
Disember 3, 2022
Kota Samarahan: Jujurnya kawan kahwin ini bukanlah benda baharu dalam hidup saya. Bermula umur 18 tahun sudah ada kawan saya yang sudahpun berkahwin. Saya berjumpa dengannya di PLKN. Sebaya sahaja kami. Sampailah satu malam ketika kami sedang lepak bersama kem komandan (kemkom), kemkom sengaja bertanya "sini ada yang sudah kahwin?" dan kawan saya itu mengangkat tangan sambil malu-malu. Kami semua ketawa, ingatkan dia bergurau, tetapi selepas beberapa gurauan kami sedar yang dia sedang serius. Kami terkejut, kemkom kami tanya "terlanjurkah?" kami sepertinya mengharapkan jawapan seperti itu, dia terlalu muda bagi kami untuk dia pikul tanggungjawab. Ternyata dia bukan terlanjur, sememangnya ikhlas ingin berkahwin, telahpun berkahwin. Malam itu, sesi borak santai bertukar menjadi sesi perkongsian tentang tanggungjawab seorang lelaki dalam rumah tangga. Walaupun umur saya 18 tahun ketika itu, saya tetap merasakan perbincangan itu terlalu awal untuk saya. Mana tidaknya, umur 18 tahun itu betul-betul baru habis sekolah. Zaman remaja pun belum habis. Jadi saya anggap cuma dialah antara orang yang terlalu awal berumah tangga. Sampailah seorang lagi kawan saya ingin berkahwin.
Kawan yang kedua ini seorang perempuan, kami panggil dia Jijah. Saya dengan dia memang rapat semasa di PLKN, satu kumpulan lagi semasa di kelas (kelas dalam PLKN). Disebabkan kami memang rapat, kami banyak jujur antara kami, sampailah satu hari dia beritahu hasratnya untuk berkahwin. Saya terkejut dan bertanya kalau dia betul-betul yakin. Dia yakin, dan minta saya berjanji untuk datang majlis perkahwinannya. Rumahnya agak jauh sekitar dua jam setengah perjalanannya. Saya pula bukanlah pernah pergi sejauh itu pada waktu itu, maklumlah anak emak. Tapi saya tetap berjanji sebab kami memang rapat dan selepas PLKN saya memang pergi kendurinya, walaupun agak takut bonceng motosikal jauh-jauh HAHAHAHAHA. Tapi saya fikir, itu mungkin yang terakhir kawan saya yang akan berkahwin awal. Mungkin sebab mereka tidak menyambung pelajaran mereka terus memilih untuk berumah tangga. Ternyata saya salah.
Semasa saya sedang menyambung pelajaran, tiga lagi kawan PLKN saya berkahwin. Dua daripada berkahwin sesama mereka dan satu lagi dengan pilihan sendiri. Saya sedapkan fikiran saya, mungkin kawan-kawan PLKN saya memang jenis-jenis yang suka kahwin awal. Bercinta awal, kahwin awal, saya buat kesimpulan sendiri. Kemudian ada lagi yang berkahwin, sampailah saya tak ingat berapa ramai kawan PLKN yang sudah berkahwin. Jadi saya fikir betullah kesimpulan saya itu, memang geng PLKN ini geng kahwin awal. Tiba-tiba, seorang kawan sekolah menengah saya buat kejutan.
Bersambung...
Comments
Post a Comment