Pintu Pertama
Pintu Pertama
November 21, 2022
Kota Samarahan: Ada tonton satu video ini, video lama juga, maklumlah telefon banyak video, tak tahu dari mana datangnya video ini, mungkin dari kumpulan Whatsapp yang selalu tandakan sebagai baca. Apapun video itu adalah video lakonan dengan label berdasarkan kisah benar. Video lakonan orang arab tapi dilakon semula suaranya dengan bahasa Melayu.
Ceritanya begini, seorang imam ingin menunaikan solat subuh di sebuah masjid yang jauh. Sesampai ia di masjid sebelum subuh, dia terjumpa seorang lelaki yang berdoa memohon Allah memudahkan urusan isterinya yang akan menjalani pembedahan. Mendengar doa yang sayu itu, si imam pun datang kepada lelaki tersebut untuk berbual bertanya khabar. Lelaki itu ceritakan tentang isterinya yang akan menjalani pembedahan namun memerlukan wang tunai dengan jumlah sekian sekian ratus ribu tunai. Lelaki tersebut tiada wang yang cukup dan tinggal berharap kepada Allah. Mereka pun bersama-sama berdoa agar dipermudahkan urusan isteri lelaki tersebut.
Usai solat subuh, seorang lelaki kedua datang kepada si imam untuk menyerahkan wang zakat harta agar si imam edarkan kepada sesiapa yang memerlukan. Jumlah wang zakat tersebut bernilai sekian-sekian ratus ribu tunai sama seperti yang diperlukan oleh lelaki pertama. Pada akhirnya, lelaki pertama itu menerima wang tersebut dengan penuh kesyukuran, mereka bertiga takjub dengan jalan kerja Allah.
Setelah menonton video ini, beberapa persoalan timbul dalam minda saya. Pertama, sememangnya begitukah jalan kerja Allah? Ini bukan mustahil kerana Allah maha berkuasa dan sememangnya mampu menggerakkan hati manusia. Keduanya, adakah kita hanya mencari Allah sebagai pintu penyelesaian terakhir sedangkan Allah lah pintu penyelesaian yang pertama dan utama? Ketiganya, yang manakah lebih baik, duduk berdoa dengan penuh pengharapan atau berdoa sambil berusaha tanpa henti? Mungkin itu kerja Allah untuk menilai, ataupun lain orang lain cara berdoa, apa yang paling penting adalah seorang orang perlu yakin dengan kuasa Allah dengan sepenuh hati.
Oh ya dalam hal video tadi, latar waktu adalah ketika waktu subuh dan situasi isunya adalah mustahil untuk diselesaikan secara realistik. Jadi saya boleh faham kenapa lelaki pertama tadi hanya mampu berdoa dengan sepenuh pengharapan kepada keajaiban.
Comments
Post a Comment