Idea Penciptaan Video
Idea Penciptaan Video
November 29, 2022.
Saya terfikirkan satu idea untuk pencipta video (bacaan; content creator) yang tiada idea nak buat video apa. Baik, cuba dengar sampai habis.
BEDAH LAGU.
Ya, bedah lagu. Sebagai mana tok guru membuat pengajian bedah kitab, sebagai mana penulis buku menceritakan sinopsis buku mereka, kita perlukan seorang pencipta video untuk ceritakan maksud di sebalik lagu-lagu terkenal di Malaysia. Betul saya cakap, sebab bayangkan ada banyak lagi yang seronok untuk kita dengar, tapi kita tak faham maksud sebenar lagu tersebut. Tambah tambah lagi lagu dengan genre rap, lagilah ramai yang buat-buat faham sebenarnya, cuma boleh terangkan maksud secara umum, bukannya setiap bait-bait rangkap lagu tersebut.
Jadi dari mana munculnya idea ini, ini yang saya nak ceritakan. Ketika di sekolah rendah, ketika itu saya ialah murid tahun 4, saya mengaku, saya memang sangat suka mata pelajaran bahasa Melayu. Bahasa Malaysia, Bahasa Melayu, sama sahaja. Sebab apa saya suka? Sebab ketika itu kami belajar tentang nilai murni. Kalau ada yang ingat, dulu UPSR Bahasa Melayu Penulisan bahagian ketiga, selalu ada soalan berkenaan nilai murni, ataupun nilai, ataupun pengajaran. Soalan itu perlu jawab dalam satu perenggan. Kembali kepada cerita tadi, saya suka mata pelajaran bahasa Melayu sebab guru saya selalu buat satu aktiviti yang saya anggap cukup inovatif. Dia berikan kami lirik lagu, seorang sehelai, kemudian dia meminta kami untuk menyenaraikan nilai-nilai murni yang terdapat pada lirik lagu tersebut. Selepas itu, kami akan semak bersama-sama jawapan masing-masing sambil dia ceritakan maksud setiap bait-bait lagu tersebut yang mempunyai nilai murni di dalamnya. Pada penutup, kami akan menyanyikan lagu tersebut bersama-sama. Muallimah Niza, kalau anda baca ini, saya dedikasikan penulisan ini untuk anda. Guru yang berjaya buat saya ambil berat tentang pembelajaran bahasa Melayu. Saya ingat lagi bila cikgu ajarkan kami lagu bertajuk Di Pondok Kecil. Lagu yang sedih hampir buatkan saya menangis mendengar penerangan muallimah. Terima kasih cikgu sebab ajar saya. Semoga pahala mu mengalir seperti sungai.
Kembali kepada topik, pencipta video, buat video bedah lirik. Mulakan dengan lagu yang mudah-mudah. Yang boleh ditafsir sendiri. Apabila pengikut semakin berkembang, cuba buat video bersama dengan penulis lirik atau artis penyanyi lagu tersebut. Biar mereka yang menafsirkan lagu tersebut.
Bila video itu menampilkan artis, pasti video akan meletup, sohorkini, artis pasti akan mempromosikan video anda untuk mempromosikan diri mereka juga. Saya juga mencadangkan banyakkan membuat bedah lagu terutamanya lagu rap. Kita sebagai pendengar memang betul-betul nak tahu apa yang penyanyi lagu itu ingin sampaikan, atau hanya merapu-rapu. Saya tiada keahlian untuk membuat video berkenaan lagu, jadi sesiapa yang baca ini, jika rasa mampu, baik cuba. Rancakkan industri penciptaan video kita.
Sekian .
Comments
Post a Comment