Baru Berani
Baru Berani
Disember 11, 2022
Kuala Lumpur: Penulis ini dibuat pada waktu pagi. Baru bangun dari tidur. Mimpi tadi lain macam. Lokasi tak diketahui, tapi semacam ada kedai tepi jalan sebaris dan ada meja batu seperti yang ada di taman untuk bersantai. Entah macam mana dalam mimpi itu saya dapat tahu pujaan hati saya terlibat dalam kemalangan namun tidaklah cedera parah. Saya tak tunggu lama, terus mencarinya di kawasan itu untuk bertanya keadaannya. Kemudian saya nampak dia sedang bersantai dengan kawan baiknya di satu meja batu yang ada, terus saya lari bertanya "eh, aku dengar kau terlibat kemalangan, kau ok tak?" dan kemudian dia menolehkan wajahnya ke tepi untuk melihat saya. Alamak! Sekali salah oranglah. Kawan baiknya memang ada di situ di hadapan saya, tetapi yang duduk di bahagian tepi itu saya tersalah orang, tak tahu siapa. Untuk yang tak tahu bayangan meja batu ini, saya sedang berdiri di hadapan saya meja batu berbentuk segi empat sama dengan empat kerusi batu di setiap sisi. Kerusi seberang saya yang kalau duduk akan menghadap saya, itulah tempat duduk kawan baik pujaan hati. Di kerusi bahagian kanan adalah orang yang saya ingatkan pujaan hati.
Jadi untuk elak malu dan sememangnya nak tahu apa yang berlaku, saya duduk di kerusi di hadapan saya lalu bertanya kawan baik pujaan hati "Eh si dia ini terlibat kemalangan kah? Apa yang telah berlaku?" "Oh baru sekarang kau berani cakap dengan aku ek?" Satu suara terdengar dari belakang. Pujaan hati sedang berdiri. Dia kemudian terus ambil tempat duduk di sebelah saya di kerusi yang sama, padahal ada kerusi kiri yang dibiarkan kosong. Dia pandang saya, saya pandang dia. Dia tersenyum sinis seolah-olah berkata 'akhirnya kau cakap dengan aku' seakan begitu. Cantik sangat, saya jadi malu lalu palingkan muka ke arah berlawanan. Tiba-tiba baru perasan ada helmet di atas kepala saya, terus saya tutup muka dengan visor saya yang gelap itu, malu, selamba sahaja pujaan hati duduk dan bercakap dengan saya.
"Baru sekarang kau berani cakap dengan aku ek?" Pujaan hati kata pada saya, suaranya lembut tetapi nadanya mengusik. Saya pun menjawab malu-malu "Bukan macam itu...aku risau itu sahaja." Lepas itu dia ceritakan apa yang berlaku, kiranya kami berbual lah. Apa yang dibualkan apa semua saya sudah tak ingat. Iyalah, mimpi kan? Sambil menaip pun boleh hilang apa yang dilalui tadi. Tapi mimpi tadi seolah-olah mengajarkan saya sesuatu.
Yang membuat perpisahan itu adalah rasa takut kehilangan. Itu yang saya pelajari. Kalau pujaan hati saya tak kemalangan waktu itu, mungkin saya masih tak bercakap dengannya. Mungkin saya takut ditolak menyebabkan saya tidak berani untuk bercakap dengannya, tetapi apabila berlaku perkara yang buruk baru saya kalut nak mencarinya. Dalam kes saya ini, mungkin saya tak sepatutnya takut. Sebab saya tak boleh hilang sesuatu yang tak pernah saya miliki. Dalam hal ini, si pujaan hati tak pernah rapat ataupun jadi milik saya, buat apa saya nak takut kan?
Comments
Post a Comment