Tabung Solat Jumaat
Tabung Solat Jumaat
Disember 13, 2022
Kuala Lumpur: Setiap kali masa khutbah, tengah fokus pada kata-kata khatib, tiba-tiba ada tangan yang dihulur dari tepi. Ada pakcik nak berjabat tangan nak minta salam. Serta merta saya teringatkan tazkirah naqib saya masa sekolah menengah. Dia kata sahabat nabi bila masuk masjid semua macam sudah tak kenal sesama sendiri, sebab nak fokus khutbah dan ibadah, fokus Allah sahaja. Tapi pakcik ini sudah hulur tangan, saya pula sudah tengok tangan dengan muka pakcik itu, kalau dibiar tergantung macam kurang ajar, padahal sedang khutbah, kalau salam macam tak belajar pula. Dilema, kesian tengok pakcik, tergantung sepi, saya pun salam buat lepas syarat hendak fokus semula pada khutbah. Salam. Sudah, sambung fokus.
Fokus punya fokus, tiba-tiba ada tabung mengesot dari kanan. Saya tengok tabung, tabung tengok saya. Saya tengok kiri pakcik sudah sedia dengan duit di tangan tunggu tabung datang. Hendak bersedekah. Terus saya teringat ustaz saya semasa tingkatan dua. Ustaz Yaakob. Dia mengajar ilmu fiqh. Dia pernah cakap masa khutbah jangan buat apa-apa. Fokus. Hendak suruh kawan diam pun tak boleh. Ustaz tengah fokus khutbah pun tiba-tiba ada tabung mengesot datang, kalau ditakdirkan pahala jumaat jadi sia-sia, habislah pahala satu saf itu, semua main ngesot tabung. Ustaz terus ambil tabung letak di tiang, tabung berhenti pada ustaz sahaja, lepas solat Jumaat barulah ustaz sambung tolak. Ustaz lah yang cerita. Saya masih tercegat di situ, hendak buat keputusan. Pakcik sebelah sudah pegang duit. Haihhh pakcik. Iyalah saya tolaklah. Saya sertai kelab tabung mengesot tolak bagi pakcik nak sedekah.
Saya buat semua ini sebab nak hilangkan gangguan semasa khutbah, tapi terfikir juga kalau-kalau pahala jadi sia-sia. Memanglah Allah itu tidak zalim, Maha Adil lagi, Allah tetap akan bagi pahala kepada orang yang melakukan kebaikan. Tetapi benda-benda macam ini ada disebutkan di dalam hadis. Kalau sudah nabi cakap sia-sia pahala jumaat, maksudnya sia-sialah kan.
Perkara ini ada perbincangannya, ada hadis-hadis lain yang terlibat dalam perbahasan berkenaan solat jumaat dan khutbah. Yang itu, nanti kita bincangkan. Buat masa ini, untuk selesaikan masalah, kalau sudah ramah sangat hendak salam salam, datanglah awal ke masjid, salam siap boleh sembang lagi. Atau kalau sudah terlewat boleh sahaja salam selepas solat nanti.
Kalau tentang tabung itu, saya pernah solat jumaat di Perak, tabung masjid digerakkan selepas solat jumaat iaitu selepas salam semasa wirid. Jadi waktu itulah yang saya rasa paling sesuai. Pahala jumaat dapat, sedekah pun dapat. Tak payah kalut kalut hendak gerakkan tabung semasa khutbah.
Comments
Post a Comment