Ramai-ramai Kahwin

Ramai-ramai Kahwin

Disember 4, 2022

Kota Samarahan: Seorang kawan sekolah menengah saya buat kejutan. Saya buka kumpulan Whatsapp dan menerima sebuah jemputan ke Walimatul Urus dan dalam jemputan tersebut tertera nama kawan saya, Mal. Saya fikir, "Lahhhh nak kahwin dah? Awalnya." Alhamdulillah perkahwinan tersebut berjalan dengan lancar, saya tak dapat pergi, jauh daripada tempat belajar. Ternyata bukan saya sahaja yang terkejut, kawan-kawan sekolah menengah yang lain juga terkejut. Mal seorang yang kuat main-main, suka bergurau dan selalu jadi bahan gurauan. Tak sangka dia yang terlebih dahulu berani memikul tanggungjawab ketua keluarga. Hahahaha hebat betullah. Tapi saya masih rasa yang Mal berkahwin terlalu awal. Maksud saya, mungkin banyak lagi yang kita nak buat sebagai bujang, tetapi itu pilihannya, siapalah saya nak komen.

Selepas beberapa masa, tahun lepas rasanya, seorang kawan perempuan saya berkahwin. Tiba-tiba. Itu bukan bahagian yang mengejutkan sekarang. Yang mengejutkan adalah dia merupakan kawan saya di tempat saya belajar ini. Kelas seberang pula itu, tiba-tiba tahu-tahu dapat gambar dia berkahwin. Dia berkahwin dengan seseorang yang bukan belajar di sini. Walaupun terkejut, saya tidak terkesan kerana kami kawan biasa-biasa sahaja. Kiranya macam terkejut tapi baiklah dia kahwin kahwinlah begitu. Sampailah kawan sekelas saya buat hal.

Kawan sekelas saya, Lam, meja sebelah saja di dalam kelas, bilik asrama dekat, kawan rapat, saya memang tahu dia berhasrat untuk kahwin awal. Tapi tahun ini dia berkahwin. Cuti pertengahan semester pula itu. Terkejut betul. Dia jemput datang, tapi majlisnya jauh sangat, pantai timur, jadi saya tonton siaran langsung Instagram sahajalah. Bukan saya seorang, kami geng-geng lelaki ini beramai-ramai tonton dalam satu bilik. Selesai lafaz sah, jiwa kami menjadi membuak-buak. Yang bujang tak berpasangan terus berasa sunyi, mahukan pasangan. Yang berpasangan terasa meronta mahu berkahwin. Melihat si Lam ini berpegang tangan dengan kekasih hati cukup buatkan kami terbakar. Saya pun jadi terkesan. Tak pernah terasa sebujang ini. Terbakarnya bagai dihasut oleh batu api, dalam hal ini Lam lah batu api itu. Selain kesal dengan jiwa bujang ini, rasa kesal juga tak hadir ke majlis perkahwinannya. Tetapi selepas itu, majlisnya di selatan tanah air saya pergi walaupun perjalanan jauh ya amat. Sanggup, demi kawan yang sudah tak bujang. Lagipun saya tahu pujaan hati nak datang juga majlis itu, sebab itu sanggup juga datang hehehehe.

Lebih rancak apabila seorang lagi rakan sekelas perempuan, Shu, turut berkahwin pada tahun yang sama. Majlis perkahwinannya betul-betul selepas majlis kahwin si Lam. Shu berkahwin dengan senior kesayangan kami, tapi sekarang sudah jadi kesayangan dia seorang huehuehuehuehue. Saya tak boleh datang, lokasinya terlalu jauh daripada lokasi saya pada waktu itu. Jadi, saya cuma ucapkan tahniah dan lihat gambar-gambar dan video-video perkahwinan di Instagram dan Whatsapp. Otak saya agak lambat waktu itu tetapi baru saya perasan, sudah dua orang daripada ahli kelas saya sudah berkahwin. Kami ada 24 orang sahaja. Kiranya tinggal 22 orang lagilah. Saya fikir disebabkan jumlah kami yang belum kahwin ini lebih ramai, jadi saya anggap mereka berdua yang berkahwin awal. Iyalah kan? Masih belajar, di tengah-tengah ijazah sarjana muda, sudah berkahwin. Kan awal itu, mungkin patutnya selepas habis belajar baru berkahwin, itupun agak awal, kalau sudah bekerja sedikit mungkin lebih baik. Itulah fikiran saya. Masih menganggap usia ini masih muda, masih awal, baru habis remaja, baru nak melangkah ke alam dewasa, semuanya terasa terlalu awal. Fikiran saya masih sama, cuma mereka sahaja yang awal, bukan orang lain lambat atau apa-apa. Sampailah beberapa lagi kawan saya buat kejutan.

Bersambung...

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir