Assalamualaikum Calon Imam

Assalamualaikum Calon Imam

Disember 6, 2022

Kota Samarahan: Saya sekarang tengah layan drama Indonesia di Viu, tajuknya cukup menarik; Assalamualaikum Calon Imam. HAHAHAHAHA aduhai macam ngilu sikit tapi baguslah tajuk menarik. Saya sebenarnya tak jumpa lagi kenapa tajuknya begitu, tapi bila saya tonton cerita itu banyak sebenarnya ibrah yang saya dapat.

Cerita itu menunjukkan protagonis seorang lelaki yang tampan, bukan sahaja berpelajaran tetapi beragama, dia singgah solat fardhu di sebuah masjid kegemaran dan selepas itu membuka Al-Quran untuk dibaca. Nampak macam babak biasa kan? Baik, saya teruskan.

Dalam waktu yang sama, seorang lelaki kacak yang akan menjadi saingan protagonis tadi turut datang untuk solat fardhu dan seperti protagonis tadi dia selepas itu membuka Al-Quran untuk dibaca. Masih seperti babak biasa kan? Hakikatnya ya ini memang babak biasa. Tetapi babak biasa inilah sebenarnya yang menjentik hati saya.

Saya dibesarkan dalam budaya baca Al-Quran selepas maghrib dari usia kecil. Kiranya selepas solat maghrib di rumah, saya dan kakak akan ke rumah ustazah kami untuk mengaji Al-Quran, bermula dari usia tadika dan berakhir selepas darjah enam, sebab sekolah menengah tinggal di asrama. Di sekolah menengah pula, untuk pelajar yang rajin sedikit, kami akan membaca Al-Quran pada waktu subuh. Maksud saya di sini, baca sendiri-sendiri lah. Yang anjuran usrah itu, cerita lain. Seterusnya bila tiba bulan Ramadan barulah kami akan membaca Al-Quran setiap kali sebelum dan selepas solat fardhu. Maklumlah hendak khatam Al-Quran kan. Daripada ketiga-tiga garis waktu inilah yang membentuk budaya bacaan Al-Quran saya. Wajib selepas maghrib, rajin sedikit selepas subuh, bulan Ramadan barulah selepas setiap solat fardhu.

Tapi selepas tonton drama ini, baru saya perasan yang ada budaya bacaan Al-Quran sebegini. Bukan bulan Ramadan tetapi tetap membaca selepas setiap solat fardhu, dan saya jadi terkesan apabila tiba-tiba baru saya sedar yang budaya ini sememangnya diamalkan oleh kawan-kawan saya, bahkan junior-junior saya. Memang pernah nampak sebelum ini, tetapi nampak sekadar nampak sahaja, tak rasa apa-apa.

Terasa seperti kesal, sebab orang lain sudah lama mengamalkan budaya ini, sehingga dalam drama lagi ditunjukkan, tetapi saya baru nampak dan tahu. Kalau inilah cara sebenar untuk berdampingan dengan Al-Quran, mungkin belum terlambat untuk saya berubah, dan kalau memang inilah budaya membaca Al-Quran dalam kalangan orang awam, betapa kurangnya amalan saya. Tengok drama pun boleh rasa bersalah eh?

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir