Cas Bateri Kereta

Cas Bateri Kereta

Disember 17, 2022

Alor Setar: Kereta habis bateri, lokasi di Aman Central parkir tingkat 5, waktu malam jam 11.45 lebih kurang macam itu, siapa nak tolong. Kereta tiada Jumper. Saya pula tak pernah hadapi situasi begitu. Tiba-tiba ada seorang pakcik yang semacam menjenguk-jenguk kami dari jauh, tak jauh tapi tak dekat. Kami pun beritahu pakcik tersebut masalah yang kami hadapi. Pakcik itu pun menawarkan untuk membantu kami. Dia pergi ke keretanya dan memandunya ke mari.

Terasa sedikit lega walaupun masalah belum selesai. Sekurang-kurangnya ada yang tahu. Pakcik itu buka bahagian depan keretanya. Dia mengeluarkan Jumper. Ada dua Jumper, kiri dan kanan, dia pasang ikut warna. Jumper hitam hujung satu pada bateri keretanya dan hujung satu lagi disambungkan dengan bateri kereta kami. Kemudian Jumper merah di sambungkan ke bateri keretanya pada bahagian merah. Dia tidak terus pasang pada kereta saya. Dia sangkutkan pada satu bahagian besi yang lain. Hujung Jumper tersentuh sedikit besi kulit kereta, terlihat sedikit percikan api. Fuh seram.

Dia meminta saya untuk matikan penggera keselamatan kereta dahulu sebelum dia sambungkan Jumper. Saya pun matikan dahulu seperti yang saya baca dalam internet. Tak tahu berjaya atau tidak sebab kereta habis bateri kan, tiada apa-apa petanda sama ada saya berjaya atau tidak. Saya beritahu dia "sudah" kemudian dia sambungkan hujung Jumper merah pada bateri kereta saya. Selepas sekejap, dia meminta saya hidupkan kereta. Saya pun masukkan kunci kereta, baca bismillah banyak-banyak, pulas. VROOOOOM! Alhamdulillah kereta sudah boleh hidup. Pakcik itu pun cabut Jumper, dia suruh saya matikan kereta dan cuba semula.

Saya matikan kereta kemudian cuba hidupkan semula. Alhamdulillah masih berjaya. Kami pun ucapan terima kasih kepada pakcik tersebut. Pakcik tersebut memberi sedikit nasihat dan kemudian meminta diri.

Saya rasa bersyukur sebab pakcik itu mahu membantu kami. Rasa lebih bersyukur sebab mendapat pengalaman berharga ini. Sekarang saya sudah tahu apa perlu dibuat jika kereta habis bateri dan apa puncanya. Sebagai persediaan, mungkin kereta saya perlukan Jumper sendiri jika perkara yang sama berulang.

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir