Yaakob Si Beg Dobi
Yaakob Si Beg Dobi
20 Februari 2023
Kota Samarahan: Had masa 30 minit untuk mencari pengganti Jackie. Tolak masa makan ada lagi beberapa belas minit. Tak tunggu lama terus ke pasaraya pertama. Cari punya cari punya pusing tiada. Bukan tiada, ada tapi bentuk silinder panjang macam timba baju busuk di rumah. Ini tak boleh bawa naik motosikal. Saya nak yang empat segi besar gedabak itu ha. Destinasi seterusnya, MR DIY. Agak yakin mungkin ada, pusing-pusing tiada. Eh? Ingatkan dalam ini ada semua. Rupanya tiada beg dobi empat segi. Masa 30 minit telah tamat. Saya terus ke dobi semula. Letakkan semua baju yang telah dibasuh ke dalam pengering. Baju-baju saya letak dalam sarung bantal, tuala, selimut, ikat kemudian baru masukkan ke dalam pengering. Letak token, masa 25 minit. Misi mencari pengganti Jackie kali kedua, had masa 25 minit bermula sekarang. Saya ke pasaraya kedua. Kemudian ke MR DIY kedua, ingatkan ada, tiada juga lah. Dekat manalah saya beli sebelum ini, hairan betul.
Saya tengok jam. Alamak dah habis masa. Saya ke Dobi. Mungkin saya perlukan lagi sedikit masa. Saya tengok dompet, ada lagi RM3.00 , kiranya 15 minit. Bolehlah. Saya tukar dengan token. Masukkan dalam pengering dan mesin tak bergerak. Eh, kenapa? Saya tengok semula. Ya Allah! Memanglah tak mula, minimum lima token. Allahu. Duit seringgit sudah habis. Tinggal RM10.00 sahaja. Aih terpaksalah berkorban. Saya pergi ke kedai, beli air tin yang saya sendiri tak teringin nak minum, dapat baki, tukar dengan token. Berjaya, ada lagi 25 minit. Saya pergi ke satu lagi kedai, harapan terakhir. Saya terus ke kaunter untuk tanya, "kak, ada beg dobi tak?" Akal itu pun jawab "ada belakang sana", saya pun pergi ke arah yang ditunjukkan dengan harapan bukannya beg silinder itu lagi. Alhamdulillah ada beg dobi empat segi. Lebih baik lagi materialnya lebih tebal, semacam kain bertulang papan macam itu, corak pun cantik. Saya ambil corak yang saya berkenan. Saya namakan dia. Mulai hari ini nama dia Yaakob, pengganti Jackie. Bayar kemudian terus kutip baju dan pulang ke asrama.
Akhirnya saya balik dengan baju yang kering, duit yang kurang sebab melebihi perbelanjaan yang dirancang, Yaakob si beg dobi baharu, minyak motosikal yang penuh tangki dan dua token lebih dari dobi. Nampaknya saya kena ke sana lagi untuk dua minggu seterusnya. Haih....
Comments
Post a Comment