Layan Tetamu

Layan Tetamu

Disember 21, 2022

Parit Buntar: Masih lagi cerita tentang saya dalam perjalanan hendak ke kenduri si Nab. Saya bermalam di rumah pakngah saya bagi memudahkan perjalanan ke Penang. Rumah pakngah saya di Parit Buntar. Inilah rancangan perjalanan saya untuk ke kenduri si Nab ini dan ada beritahu kawan-kawan tentang rancangan saya. Mereka pun hendak pergi ke kenduri tersebut dan ingin menumpang bermalam di rumah pakngah saya. Saya telah maklumkan kepada sepupu dan ibu saudara saya lalu mereka membenarkan.

Kawan-kawan saya; Asad, Acap dan Zul akan bergerak dari selatan ke utara dengan menaiki bas. Ikut rancangan, saya akan menjemput mereka di stesyen bas Parit Buntar apabila mereka telah sampai. Dipendekkan cerita, mereka sampai pada waktu petang. Jadi saya menjemput mereka dengan kereta dan bawa ke rumah pakngah. Masa itu, jamuan sambutan hari jadi acik sedang berlangsung. Pada mulanya saya tidak merasa apa-apa, sekadar bawa kawan-kawan ke rumah macam biasalah. Tapi difikirkan semula, barulah perasan betapa kekoknya kawan-kawan saya pada waktu itu. Saya perlu bawa kawan-kawan bersalaman dan berkenal-kenalan dengan ibu dan bapa saudara saya, YANG RAMAI-RAMAI ITU. Kemudian saya perlu menjemput mereka makan, tunjuk di mana makanan, basuh tangan, tempat duduk, hidang beberapa makanan lain di meja makan dan temani mereka sepanjang jamuan itu. Iyalah, saya sahaja yang kawan-kawan saya kenal pada waktu itu, di tengah-tengah majlis keluarga.

Kelakarnya saya baru tersedar perkara itu pada waktu tersebut tentang betapa saya diperlukan pada waktu itu. Selepas jamuan, saya perlu tunjuk selok belok rumah, di mana mereka akan tidur, tempat solat kemudian apa perancangan atau agenda yang hendak dibuat di rumah itu. Bendanya santai sahaja, cumanya saya baru sedar tentang peranan yang perlu saya mainkan sebagai tuan rumah.

Bila diingat semula, setiap kali ada tetamu datang ke rumah, selalunya ibu dan ayah saya yang akan layan, sediakan tempat, makanan, sembang, cakna dengan keadaan tetamu, kalau mereka penat beri mereka bilik untuk berehat, sediakan apa yang patut. Saya hanya datang tayang muka sahaja apabila ibu panggil hendak kenalkan diri saya. Selain itu, tolong bancuh air, kemudian sembunyi di dapur atau bilik. Sebab tetamu itu kawan ibu atau ayah, saya tak kenal jadi tidak tahulah bagaimana mahu melayan sekali. Kiranya pengalaman sebagai tuan rumah itu tidak banyaklah walaupun ramai sahaja orang yang datang ke rumah.

Nasib baiklah saya ini agak rajin temankan ibu dan ayah ziarah orang, melawat ke rumah-rumah, hadir jamuan, kenduri, majlis-majlis dan sebagainya. Kiranya semasa saya kena melayan kawan-kawan itu saya ingat balik lah apa yang tuan rumah sebelum ini buat untuk melayan saya dan keluarga. Kemudian saya tiru semula. Saya yakin masih banyak kekurangan saya sebagai tuan rumah, tapi saya jujur saya cuba berikan yang terbaik. Semuanya lancar sahaja pada akhirnya, cumanya saya jadi sedar sebagai bakal dewasa banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi tuan rumah yang baik.

Comments

Popular posts from this blog

Kegagalan Projek di Kelantan: Terminal Bas Kota Bharu

Poco F4 5G

Keburukan Berfikir